NOTA

http://blog.scoreanetwork.com/index.php/bila-anak-mengalami-tekanan-emosi.html

  

Bila Anak mengalami Tekanan Emosi

 

           Kita sering beranggapan hanya orang dewasa mengalami tekanan, gangguan emosi atau emosi kurang stabil. Hakikatnya, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dibelenggu permasalahan psikiatri ini.

             Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua hingga empat peratus di kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus di kalangan remaja dan 15 hingga 20 peratus di kalangan dewasa. Dan mengikut kajian yang dilakukan oleh pakar turut mendapati 10.5 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan.

          Gangguan atau tekanan emosi di kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan perlu diberi perhatian segera. Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan. Ia juga sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas.
           Kebiasaannya kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atu rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan. Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara memberontak atau menangis.

               Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh kalah dengan tangisan anak-anak kerana ia hanya akan menambah sifat ingin memberontak. Tabiat kerap menangis atau memberontak untuk mendapatkan sesuatu memang sering digunakan kanak-kanak dalam menarik perhatian orang dewasa.Sebagai ibu bapa, kita adalah orang yang bertanggungjawab membentuk tabiat kanak-kanak dengan syarat mesti konsisten. Sebahagian besar ibu bapa berasa malu jika anak mereka meronta-meronta dan menangis di kedai kerana mahukan sesuatu.
       
          Tip paling baik, jangan beri apa yang dimahukan ketika mereka menangis atau memberontak, sebaliknya beri apabila mereka berkelakuan baik. Ibu bapa juga jangan kalah dengan tangisan kerana jika kita mengalah, itu hanya akan menambahkan galak mereka.Lama-kelamaan, mereka akan gunakan taktik air mata itu setiap kali permintaan mereka tidak dipenuhi. Sebaik-baiknya bersabarlah dengan kerenah mereka dan jangan berputus asa. Katakan kepada mereka, hajat mereka akan dipenuhi jika berkelakuan baik. Kerana itu, konsisten sangat penting supaya anak-anak tidak keliru. Jika anak memberontak, jangan lekas menghukum, apalagi terus merotan mereka. Adalah penting ibu bapa cuba mendekati perasaan mereka mengapa mereka berkelakuan begitu. Jadilah ibu bapa yang prihatin dan faham kemahuan anak ‘Generasi Digital’ abad ke-21.
Redz@Gjan






 


http://dwnsiswa.dbp.my/wordpress/?p=365

 

PELAJAR DAN TEKANAN EMOSI


              Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, dapatan kaji selidik menunjukkan bahawa 14.4 peratus remaja berusia 16 tahun hingga 19 tahun mengalami masalah kesihatan mental berbanding dengan golongan dewasa yang mencatatkan 11.2 peratus kes. Kajian itu juga menunjukkan bahawa secara keseluruhan, 11 peratus golongan muda berusia 16 tahun hingga 24 tahun pernah terfikir untuk membunuh diri.

                 Peratusan kes daripada hasil kajian tersebut yang secara relatifnya agak tinggi, sudah pasti membimbangkan kita semua. Hal ini perlu ditangani segera agar jumlah kes tidak terus meningkat hingga mengundang keadaan yang lebih serius berlaku. Oleh hal yang demikian, gejala masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja atau pelajar perlu ditangani dari awal. Tekanan emosi sekiranya tidak diuruskan pada peringkat awal, boleh menjadi parah dan seterusnya menular kepada masalah mental.

          Memang tidak dinafikan bahawa zaman remaja ialah era peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa dan banyak perubahan dari segi perkembangan fizikal, kognitif serta emosi berlaku dalam tempoh ini. Tidak mustahil pada usia ini, remaja sering dikaitkan dengan jiwa yang cenderung untuk memberontak.Apatah lagi, alam remaja merupakan tempoh yang mendedahkan mereka kepada banyak tekanan emosi. Tekanan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh faktor pendidikan kerana menduduki beberapa peperiksaan penting sepanjang usia remaja. 

               Selain itu, remaja juga “terperangkap” dengan harapan ibu bapa yang terlalu tinggi, masalah kurang perhatian keluarga dan tahap keyakinan diri yang menurun.Kita sering melihat tekanan sebagai masalah orang dewasa, tetapi hakikatnya perkara ini turut berlaku pada kanak-kanak dan remaja, justeru bayi mengalami tekanan juga. Bayi menangis, mungkin kerana lapar atau kembung perut, merupakan isyarat bahawa mereka mengalami tekanan. Cuma punca dan tahap tekanan mereka berbeza daripada orang dewasa dan remaja.
Oleh hal yang demikian, bagi memastikan tekanan emosi tidak menjadi lebih serius dan mengganggu kehidupan, hal ini perlu ditangani dan diuruskan dengan mengenal pasti puncanya terlebih dahulu. Apabila puncanya diketahui, lebih mudah untuk seseorang itu menguruskan masalah tekanan emosinya.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012