Isnin, 16 Februari 2009
Kisah seorang guru dengan anak muridnya
KES disiplin timbul lagi; kali ini di Klang; empat orang pelajar ditikam oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali.Pada hari berita itu disiarkan, seorang pelajar saya ditumbuk oleh seorang pelajar lain, dan sebelum pergaduhan menjadi lebih teruk, perbuatan mereka dihentikan sekumpulan pelajar lain yang berada di situ dan kedua-dua yang terlibat diberi ubat gosok kerana mereka lebam sedikit dan oleh kerana tiada kecederaan teruk, mereka enggan ke hospital dan saya meminta kedua-duanya kembali ke kelas semula.
Saya tidak dapat buat apa-apa lebih dari itu.Selama tempoh saya mengajar, hampir semua pelajar yang saya kenal, bermula dari kelas yang terbaik sehinggalah ke kelas yang tercorot kerap tertinggal buku di rumah.
Pengalaman saya sebagai guru mengajar, apabila pelajar tidak bawa buku teks, maksudnya mereka tidak mahu belajar. Jika mereka tidak bawa buku latihan, maksudnya mereka tidak siap kerja. Jika mereka tidak bawa satu apa pun ke sekolah, maksudnya mereka tidak mahu belajar, dan tidak peduli apa pun, sebaliknya datang ke sekolah semata-mata untuk berjumpa kawan dan keluar dari rumah. Selalunya apabila mereka tidak bawa buku, saya terpaksa meminta mereka meminjam dari kawan, atau menyalin di dalam kertas lain, dan ditampal dalam buku apabila pulang ke rumah. Saya tahu, mereka tidak akan tampal dalam buku, tapi saya terpaksa juga menyuruh demikian, kerana bimbang mereka akan mengganggu rakan lain yang membawa buku.Saya tidak dapat buat apa-apa lebih dari itu.
Beberapa minggu lalu, ada seorang pelajar saya dibuang sekolah atas masalah disiplin. Ibunya datang menyerang guru disiplin di sekolah yang memang sudah biasa diserang ibu bapa.Kami guru-guru hanya meminta ibu itu membawa anaknya ke Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri dan memohon masuk ke sekolah semula. Permohonannya dibenarkan (kerana kita ada dasar pendidikan wajib sehingga usia 17 tahun) dan pelajar saya ini datang ke sekolah semula. Sikapnya masih sama; tidak bawa buku teks dan buku latihan, asyik bermain dalam kelas dan mengganggu rakan yang lain. Apabila saya katakan "Awak ni baru saja datang selepas dibuang sekolah, mengapa masih tidak ubah sikap?", dengan angkuhnya dia berkata kepada saya, "Kalau kena buang sekali lagi pun, saya masih boleh masuk semula. Ini bukan urusan cikgu". Seterusnya saya meminta dia duduk dengan senyap dan melarang dia mengganggu rakan lain. Tetapi, kerana marah dengan saya, pelajar saya itu keluar dari kelas tanpa kebenaran dan tidak kembali sehingga tamat waktu pelajaran saya. Dia tidak masuk kelas juga pada waktu guru lain masuk mengajar. Kawan-kawannya memberitahu saya yang dia telah melompat keluar dari pagar sekolah. Saya hanya dapat mendengar.
Saya tidak dapat buat apa-apa lebih dari itu.
Saya dan mana-mana guru pun di Malaysia ini memang tidak boleh buat apa-apa. Apa yang boleh kami buat ialah menolak markah demerit dan apabila habis markah ditolak, pelajar itu akan dibuang sekolah dan selepas beberapa minggu, mereka akan kembali semula. Semua tindakan yang boleh diambil adalah di atas kertas semata-mata, dan pelajar pun tidak tahu-menahu tentangnya. Bagaimana kita hendak selesaikan masalah disiplin jika kita asyik hendak berpolitik dan memenangi hati ibu bapa, tanpa menyedari yang kita telah menyembunyikan satu bahagian realiti dunia daripada anak-anak kita? Realiti yang telah kita sembunyikan ialah dunia ini boleh menghukum semua jenis kesalahan. Realitinya ialah, majikan boleh membuang pekerja yang malas. Kita telah sembunyikan realiti ini dari anak-anak kita sebab kita hendak ibu bapa menyokong kita.
Saya mohon Utusan Malaysia siasat bidang kuasa guru; apa yang boleh dan apa yang tidak boleh guru lakukan untuk menguruskan hal disiplin sekolah. Barulah masyarakat tahu realitinya; menjegil mata kepada murid pun sebenarnya menyalahi peraturan.
AKMAL FAIRUZ
IPBA, Jalan Pantai Baru
Utusan Malaysia Online: 16 Februari 2009
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/HutanBandarlokasipontengsekolah/ArticleHutan Bandar lokasi ponteng sekolah
Kawasan rekreasi jadi tempat lepak, hisap rokok, bergaduh
JOHOR BAHRU: Deretan gerai yang tidak beroperasi sekitar taman rekreasi Hutan Bandar di sini, kini menjadi lokasi kumpulan pelajar untuk melepak ketika ponteng sepanjang waktu persekolahan.
Walaupun datang ke situ dengan berpakaian sekolah, mereka menjadikan lokasi berkenaan yang tidak ramai pengunjung pada hari biasa untuk menyalin pakaian awam yang dibawa bersama sebelum berpeleseran di sekitar bandar atau tidur dan merokok di kawasan sekitarnya.
Malah, kawasan hutan rekreasi itu juga dikatakan menjadi lokasi kumpulan pelajar ponteng terbabit untuk bergaduh atau membelasah rakan sebaya yang mereka dendam selepas pelajar terbabit dipaksa ke situ.
Tinjauan Berita Harian mendapati pelajar yang ponteng dan berpeleseran di sekitar taman rekreasi itu datang dari sekitar Larkin serta sekolah menengah berdekatan merangkumi semua kaum termasuk Melayu, Cina dan India dengan setiap kumpulan antara 20 hingga 30 orang.
Keadaan Hutan Bandar yang redup berikutan banyak pokok serta agak terlindung di sesetengah lokasi termasuk di sekitar kawasan kolam udang yang terbiar, disifatkan pelajar ponteng sebagai lokasi terbaik untuk mereka melepak.
Pelajar Tingkatan Satu dari sekolah menengah berdekatan yang mahu dikenali sebagai Muhammad, mendakwa dia dan rakannya lepak di situ kerana tidak berpuas hati terhadap guru disiplin di sekolah mereka.
“Guru disiplin sekolah kami pilih kasih dan bersikap perkauman. Apa saja kesalahan disiplin, kami sentiasa dipersalahkan, berbanding kaum lain. Baru-baru ini, ada kejadian kereta dicalar dan kami disalahkan walaupun siasatan kemudiannya mendapati ia dilakukan kaum lain.
“Ponteng dan lepak di sini ada kumpulan tertentu dan mengikut kaum yang tidak bercampur dan kebanyakannya pelajar lelaki, masing masing dengan kumpulan sendiri.
“Semua pelajar yang ponteng di sini merokok. Paling kurang, dalam seminggu, dua atau tiga hari kami pasti ponteng sekolah dan melepak di sini,” katanya yang tinggal di Taman Suria dekat Larkin di sini.
Pelajar sesi petang itu berkata, setiap kali ponteng, dia keluar seperti biasa dari rumahnya kira-kira jam 12.15 tengah hari dengan berpakaian sekolah sebelum terus ke Hutan Bandar dan melepak di situ sehingga tamat sesi persekolahan sebelum pulang menaiki bas dan kegiatan itu tidak disedari ibu bapanya.
Katanya, sepanjang ponteng di situ, mereka pernah ditahan polis tetapi setakat ini, kejadian itu tidak sampai kepada pengurusan sekolah atau ibu bapa menyebabkan mereka tidak bimbang.
Seorang rakan persekolahannya, Razman Rahman, 16, mendakwa kaedah pembelajaran digunakan guru sekolahnya yang juga lulusan luar negara membosankan.
"Macam mana kami tak ponteng dan melepak di sini, sebab guru lepasan luar negara mengajar kami seolah-olah penuntut universiti, sehingga sukar memahaminya. Kami bukan sampai tahap itu lagi, malah pelajar yang kurang pandai macam kami memang tidak diberi perhatian,” dakwa pelajar Tingkatan Empat itu yang ditemui ketika tinjauan di kawasan hutan itu pada waktu pagi.
Tinjauan mendapati, walaupun kumpulan pelajar itu mempunyai pelbagai alasan sendiri untuk menghalalkan perbuatan ponteng mereka, namun kebanyakannya kelihatan tidak memahami tanggungjawab mereka sebagai anak dan pelajar.
Masing-masing kelihatan tidak rasa bersalah apabila membohongi ibu bapa yang gigih bekerja untuk menyara kehidupan keluarga di bandar raya ini dan mengharapkan anak-anak akan memberi tumpuan kepada persekolahan.
Selain itu, faktor pengaruh rakan sebaya juga menjadi punca kumpulan pelajar terbabit ponteng, selepas masing-masing merasakan kehadiran mereka ke sekolah tidak dipedulikan.